Saturday 12 December 2015

Ulasan Buku: The Behavior Gap (Carl Richards, 2012) - Sikap bodoh 'buy high, sell low'

Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang suka membaca. Atau lebih tepat, saya tak suka membaca buku yang saya tak tau apa yang boleh diperolehi daripada buku tu.

Tapi kalau saya ada satu persoalan dalam kepala, contohnya "apakah kesan TPPA", maka saya akan boleh baca beratus-ratus muka surat dokumen TPPA, segala analisis-analisis rasmi yang dibuat dan segala ulasan-ulasan dan komen oleh banyak pihak

Senang kata saya membaca untuk memperoleh jawapan kepada persoalan di minda, bukan sebab saya suka membaca.


Kebanyakan buku biasanya meleret

Dulu sebelum kahwin buku yang paling selalu dicadangkan untuk baca, adalah buku 'Men from Mars, women from Venus", untuk kewangan, "Rich Dad, Poor Dad", untuk ekonomi "Freakonomics"

Itu semua buku-buku yang terkenal, ada idea yang menarik. Tapi jujurnya, saya baca separuh dan dah mula hilang minat. Kenapa?

Sebab isi pentingnya sama, yang lain hanya huraian yang berulang dan berulang, terutamanya separuh yang kedua, sebab buku ni kena sekurang-kurangnya beratus-ratus muka surat, walaupun isi pentingnya satu atau dua je.


Kebanyakan buku sebenarnya tidak mempunyai ilmu baru yang bernilai

Mungkin ramai tidak bersetuju, tapi realitinya kebanyakan buku tidaklah mempunyai kandungan yang begitu bernilai - ianya mungkin benda yang memang ramai orang dah tahu, atau orang-orang dalam bidang tu dah tahu lama, sekadar ianya dihiasi dengan gaya penulisan dan kisah-kisah yang menarik, menjadikan buku itu menarik dan seronok dibaca

Ye, kisah, sebab kebanyakan buku best seller akan menggunakan teknik bercerita. Sebab orang lagi suka membaca cerita daripada fakta. Sebab tu Robert Kiyosaki mencipta kisah dongeng hidupnya, sebab orang lagi suka membaca cerita - lebih 'real' dan 'praktikal' kononnya (walaupun cerita tu sebenarnya fiksyen)


Jadi sebagai seorang ahli ekonomi, memberi pendapat peribadi berkaitan setiap buku-buku ekonomi yang dijual mungkin merupakan idea menarik

Jadi insyaAllah, bermula dari sekarang, saya akan gigihkan diri membaca buku-buku yang bertemakan ekonomi, untuk memberi pendapat saya berkaitan apakah pengajaran paling penting di dalam buku itu, dan apakah pendapat saya sebagai seorang economist terhadap kandungan buku itu

Ini untuk memaksa diri sendiri membaca dan untuk menjadi rujukan untuk diri sendiri pada masa akan datang.

Sekian muqaddimah




The Behavior Gap - Sebuah buku yang menyedarkan kita bagaimana greed and fear (tamak dan ketakutan) itu menjadikan kita bodoh

Isi utama buku ini:

- Buang habit "buy high, sell low", ianya habit yang berpunca daripada sikap tamak dan takut
- Tidak ada orang yang boleh tahu masa depan, jangan buang masa cuba meramal masa depan, tetapi fokus kepada nilai pada masa sekarang.
- Jangan terlalu fokus kepada keuntungan yang boleh diperolehi, duit bukan segalanya, sebaliknya fokus kepada apa yang paling penting untuk kita. Rancang kewangan dengan mengambil kira segala kemungkinan

Keseluruhan buku ni, inilah 3 isi utama buku ni. Seperti yang saya cakap, kebanyakan buku sebenarnya meleret

Isi-isi penting dengan lebih terperinci:

1) Kebanyakan pelabur biasanya mengalami kerugian - kerana mereka membeli ketika harga tengah tinggi, dan menjual ketika harga tengah rendah, berpunca daripada perasaan tamak ketika harga tinggi, dan takut ketika harga rendah

2) Pelaburan yang 'terbaik' itu tidak wujud. Setiap pelaburan ada kelebihan dan kelemahannya. Dan kebiasaannya, semakin tinggi potensi pelaburan tersebut, maka semakin tinggilah risiko yang perlu dihadapi

3) Golongan yang membuat ramalan ekonomi atau pelaburan yang ekstrim, mereka lebih banyak salah daripada betul, seperti spesis yang meramal recession akan berlaku pada tahun 2008, sebelum-sebelum ni diorang ada ramal benda yang sama dan semuanya salah

As a side note, Robert Kiyosaki tengah meramal stock market akan mengalami kejatuhan paling teruk dalam sejarah tahun hadapan, tengoklah nanti akan jadi ke tak (pfft)

4) Duit hanya diperlukan sehingga tahap tertentu - lebih daripada itu, kebahagiaan tidak lagi bergantung kepada duit. Bezakan apa yang penting dan apa yang mustahak (urgent).

5) Kebanyakan berita adalah tidak relevan kepada faktor fundamantal ekonomi dan pelaburan. Kita terlalu bergantung kepada apa yang keluar di berita - sedangkan di saat ianya keluar di berita, market has already priced in. Semakin kita kisah berkaitan pelaburan kita, semakin kita akan luangkan masa untuk dapatkan info baru yang boleh tenangkan kita. Dan kebiasannya, semakin kita akan tertipu dan akhirnya membuat keputusan yang salah

6) Membuat perancangan yang sangat bergantung kepada 'assumption' adalah merepek, perancangan sepatutnya dibuat dengan mengambil kira apa akan terjadi kalau 'assumption' yang dibuat adalah salah

7) Antara membuat keputusan berdasarkan ilmu rasional, dan emosi yang tidak rasional, kebiasaannya emosi menang - dan kita kerugian

8) Sifat tamak biasanya akan mengaburi keputusan kita, begitu juga dengan 'harapan'



Dengan kata lain, buku ni bersifat 'tazkirah' i.e. peringatan, bukanlah buku yang memberikan ilmu yang baru, jadi apakah 'tazkirah' utamanya?

Jangan melabur sebab tengok harga aset tersebut naik secara berterusan

Kalau diteliti setiap isi-isi dalam buku ni, rasanya semua orang tahu je kandungan-kandungan dalam buku ni.... Tapi kita masih buat jugak - sebab tu buku ni bagi saya merupakan satu 'tazkirah'

Yup, kesilapan utama dalam pelaburan, adalah kita membeli sebab tengok harga pelaburan tersebut naik banyak. Kita lupa, pelaburan yang kita beli tu ada 'harganya'. Dan biasanya kita tidak membeli barang yang berharga 'mahal'..... Tapi dalam pelaburan, yang 'mahal' itulah yang kita nak beli....

Sebagai contoh, ketika harga emas tengah tinggi, sangat ramai yang berderu-deru untuk turut membeli emas, skim-skim cepat kaya berunsurkan emas juga berleluasa. Hujah mereka senang, tengoklah harga emas yang meningkat 100% hanya dalam masa beberapa tahun! Emas akan terus naik harga dalam jangka masa panjang - ini jugalah statement yang dikeluarkan oleh seorang Dekan Fakulti Ekonomi IPTA tempatan... sigh....

(Maka akan keluarlah segala hujah-hujah pasal demand and supply, production cost emas, bla bla bla)

Akhirnya? Kebanyakan orang membeli ketika harga emas tinggi, dan akhirnya bila harga emas jatuh, mereka baru sedar dan terpaksa jual....

Dah tak terkira berapa orang yang tanya kepada saya apa pandangan saya berkaitan harga emas, dan sebagai ahli ekonomi, memang terang lagi bersuluh, bahawa ianya akan terus jatuh..... Dan tak akan melonjak naik banyak dalam masa yang dekat... even dalam 5 tahun pun tipis kemungkinan.... Tapi akan ada juga mereka yang digelar 'gold bugs' yang berterusan memperjuangkan harga emas akan naik kembali.....

Memanglah akan naik.... tapi kalau akan naik lepas 10 tahun... baik tak payah.... Nasi lemak pun boleh naik harga 100% dalam 10 tahun....

Sampai sekarang saya ingin berjumpa kembali golongan-golongan di Facebook yang memperlekehkan saya apabila mengatakan harga emas / perak akan jatuh dahulu.....

Ianya benda yang sama, untuk pelaburan rumah, pelaburan saham, dan semuanyalah.... Kita terlibat dengan pelaburan tu disebabkan performance pelaburan tu sehingga sekarang sangat menguntungkan

Sedangkan kita lupa, bila dia dah naik banyak, maksudnya harganya dah mahal

Kalau tengah shopping di supermarket, jika ada dua barang yang sama jenama, kita akan membeli barang yang lebih murah... atau yang lebih mahal?

Semua orang akan beli yang murah. Tapi di dalam melabur, kita akan membeli yang tengah mahal.

Itu kesilapan biasa, sesiapa sahaja yang pernah terlibat secara langsung dengan saham mesti pernah lalui benda yang sama. Kita jadi tamak dan rasa selamat bila harga tengah tinggi. Bila harga jatuh, kita jadi takut dan rasa nak lari. Akhirnya? kita "buy high, sell low"

Itu mesej utama buku ni

Benda yang senang secara teori, tapi susah secara realitinya, sebab perasaan tamak dan takut biasanya menguasai kita...



Orang keluar kerja kerana ingin menjadi 'pelabur'

Beberapa bulan lepas, ada seseorang berceritakan kepada saya, bahawa dia mengenali beberapa orang yang baru keluar berkerja, dengan niat ingin menjadi pelabur sepenuh masa

Sebab katanya, mereka sudah melabur selama 4 tahun, dan mereka untung besar dan merasakan boleh hidup dengan melabur sepenuhnya....

Pesanan saya, sedarlah tempoh 4 tahun adalah terlalu singkat untuk merasakan diri seorang pelabur yang bagus.... apatah lagi 4 tahun lepas memang adalah tempoh stock market tengah dalam 'uptrend' i.e. 'bull market'..... Makcik nasi lemak pun kalau labur saham dalam tempoh tu lebih berkemungkinan dapat untung daripada rugi....

Itu baru yang memang nak melabur.... Yang keluar kerja sebab skim cepat kaya dan MLM lagi ramai.....



3 soalan perlu ditanya sebelum melabur

Dalam buku ni, dia bagi 3 soalan yang perlu ditanya sebelum kita membuat pelaburan:

- Apa yang kita dapat kalau pelaburan tu menguntungkan
- Apa yang kita hilang kalau pelaburan tu kerugian besar
- Adakah kita pernah salah sebelum ini

Atau dengan bahasa yang lebih cliche - kita hanya ambil risiko setakat yang kita mampu. Potensi keuntungan tidak mengatasi risiko kerugian, jika kita tidak mampu menampung kerugian tersebut

Tapi untuk Malaysia, saya rasa ada 2 soalan lagi perlu ditambah

- Kalau dirasakan pelaburan tu sangat menguntungkan, kenapa dia tak buat pinjaman bank dan bolot sendiri je pelaburan tu? Apalah sangat kadar pinjaman 20% setahun kalau pelaburan tu boleh jana 70% setahun.....

- Orang ni tengah menjual produk dia, atau tengah menggoda sifat tamak kita untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi?

Itu soalan sangat penting untuk mengelakkan kita daripada terjerumus ke dalam skim cepat kaya. Kena tahu Dr Uzar dah keluarkan fatwa bahawa jika kita menyertai MLM disebabkan ingin mendapatkan duit (bukan produk), maka ianya tidak boleh....


Take home message yang paling penting

Jangan tertipu dengan 'harapan' @ 'fakta' bahawa harga sesuatu aset itu akan terus naik. Semua benda ada limit harga, yang mengatasi harga itu, ianya akan dikira sebagai mahal dan dah tak ada orang bodoh yang lebih bodoh daripada kita akan membelinya

Tidak kiralah saham, rumah, ataupun emas


Wallahualam

1 comment:

YudhaFM said...

Halo, boleh saya minta kontak anda? bila anda berkenan, saya ingin mendiskusikan kerja sama. Terimakasih