Tuesday 15 November 2016

Antara Adam Smith, Karl Marx dan Rasulullah - Ekonomi Itu Seperti Jalan Raya

Dalam sebuah forum baru-baru ni, salah seorang panel menyebut sesuatu yang sangat menarik perhatian aku:

"Rasulullah tidak pernah membentangkan bajet"

Ianya menyedarkan aku, walaupun sudah sangat ramai yang membincangkan perbandingan dakwah Rasulullah dan zaman sekarang, perbandingan hukum hakam dulu dan sekarang, yang membincangkan perbezaan pelbagai jenis 'gaya hidup' ataupun 'deen' antara dulu dan sekarang, tetapi masih sangat sedikit yang membincangkan perbezaan sistem ekonomi zaman Rasulullah dan zaman sekarang, tidak kiralah dari sudut teori mahupun praktikal.

Kerana ekonomi itu sendiri suatu cabang ilmu khusus, menyerahkan hukumnya kepada ustaz / ulama yang tidak 'hidup' di dalam bidang ini, seperti meminta fatwa feqah daripada ahli usuluddin



Centralised vs Decentralised Economy

Apabila mengatakan 'Rasulullah tidak pernah membentangkan bajet', dengan kata lainnya ianya samalah seperti mengatakan Rasulullah tidak pernah 'merancang' ekonomi umat Islam ketika itu. Di dalam ekonomi, 'tidak merancang' sendiri sebenarnya adalah suatu 'perancangan' ataupun strategi di dalam membangunkan ekonomi, di mana kita menyerahkan kepada 'market' sendiri untuk menentukan apa yang baik dan apa yang buruk di dalam ekonomi.

Teori ini adalah sama dengan teori yang dipeloporkan oleh seorang yang diberi gelaran 'bapa ekonomi' i.e. Adam Smith. Membesar di dalam zaman yang mana ekonomi itu sangat dirancang oleh golongan diraja, beliau berpendapat bahawa ekonomi ini sebaik-baiknya 'dilepaskan' saja, dan 'invisible hand' akan melakukan kerjanya, di mana akhirnya ekonomi tersebut akan memberikan hasil yang terbaik apabila setiap individu melakukan apa yang dirinya sendiri merasakan terbaik untuk dirinya, berbanding membiarkan kerabat diraja yang menentukan apa yang terbaik untuk mereka.

Itulah permulaan lahirnya teori 'free market' economy.

Ke satu tahap, apa yang dilakukan oleh Rasulullah itu bolehlah dikatakan seperti pendekatan 'free market', sepertimana pernah para sahabat mengadu akan kenaikan harga barang dan Rasulullah bersabda:

”Sesungguhnya Allah lah al-Musa’ir (Yang Maha Menetapkan harga), al-Qabidh, al-Basith, dan ar-Raziq. Dan sungguh aku benar-benar berharap berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dengan kezaliman dalam masalah darah (nyawa) dan harta”
(HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, dan dishahihkan Al-Albani)

Ada tiga point utama di dalam hadith tersebut:
i) Rezeki itu di tangan Allah
ii) Rasulullah tidak bersetuju untuk melakukan 'direct intervention' dengan mengawal harga
iii) Rasulullah memandang 'direct intervention' itu akan membawa kepada kezaliman dari sudut harta

Maksudnya apa? Jika harga barang naik, maka Rasulullah memandang harga yang naik itu adalah hak penjual. Jika baginda meletakkan harga 'syiling', maka ianya samalah seperti mengambil hak harta penjual tersebut, dan Rasulullah tidak inginkan perkara tersebut.

Kena sedar menetapkan harga di sini adalah berbeza dengan menetapkan harga melalui pemberian subsidi.

Falasi Free Market Economy

Hakikatnya 'free market' i.e. totally decentralised economy hanyalah satu idealism. Ini kerana manusia itu sendiri sebenarnya tidak rasional dan tamak, dan sistem kehidupan ini hakikatnya tidak adil.

Ada tiga benda yang akan menjadikan sistem ekonomi 'free market' itu tidak akan menjadi dalam bentuk yang ideal:

i) Asymmetric information (maklumat yang tidak sama) - kita ingat kedai tu terpaksa naikkan harga sebab GST, tapi kita tak tahu yang sebenarnya keuntungan dia mark-up dalam 100%

ii) Inequality - dari segi kekayaan, pendidikan, opportunity sehinggalah perbezaan kemampuan akal fikiran. Ianya menjadikan walau kita nampak ada peluang membuat untung dengan membuka syarikat kapal terbang atau membuat apps, kita tidak mampu dari segi modal, ilmu dan networking

iii) Irrationiality beyond monetary gain - kita tahu minyak masak jagung sama juga boleh dibuat memasak, tetapi kita masih ingin membeli minyak kelapa sawit yang lagi mahal. Tidak kiralah apa sebabnya, samada sebab dah biasa ataupun menyokong barangan tempatan

Kesannya?

Mereka yang ada kelebihan akhirnya mempunyai peluang untuk memonopoli. Akhirnya lahirlah golongan 'capitalist'

Capitalism Melahirkan Socialism

Jika Adam Smith itu lahir di zaman golongan feudal yang menguasai dan mengawal ekonomi, maka Karl Marx itu pula menyaksikan golongan capitalist i.e. golongan hartawan yang menguasai dan mengawal ekonomi. Kesannya sama - rising inequality

Maka Karl Marx memberikan pandangan bahawa 'ekonomi' itu perlu dimiliki oleh masyarakat, bukan kerajaan mahupun individu - satu cadangan yang sedap didengar, tetapi ketinggalan satu lompong persoalan yang besar. Iaitu siapakah 'masyarakat' - bagaimana pula pembahagian ekonomi dilakukan sesama 'masyarakat' itu

Akhirnya penganut kepercayaan ekonomi Karl Marx menubuhkan 'Politburo' yang mengawal segala aktiviti ekonomi negara tersebut - yang effectively, tidak jauh beza dengan sistem feudal di mana kerabat diraja menguasai dan mengawal ekonomi.

Bagaimana Dengan Zaman Rasulullah

Ada seorang itu pernah mengatakan, bahawa sistem ekonomi Islam itu ada dua: zakat dan pengharaman riba

Ianya suatu simplification yang aku rasakan tidak adil kepada perbincangan ilmu ekonomi, kerana ianya tidak mampu untuk menyelesaikan masalah orang miskin yang tidak mampu membeli nasi, orang muda yang masih gagal mendapat kerja ataupun para peniaga yang terus kaya dengan menaikkan harga barang

Namun apa yang jelas, yang diterapkan oleh Rasulullah adalah prinsip di dalam ekonomi, bukanlah dasar ataupun kaedah pengurusan ekonomi itu sendiri. Itulah yang menjadikan perbincangan ekonomi Islam sangat limited.

Prinsip ekonomi Islam:
i) Jangan menindas - maka riba itu diharamkan, gharar itu diharamkan, menjual barang yang sudah buruk itu diharamkan, menipu dalam jual beli itu diharamkan
ii) Jangan mengambil hak orang lain - maka menetapkan harga syiling itu dilarang (jika tanpa subsidi)
iii) Kena produktif - maka maisir itu diharamkan, berkerja serta berniaga itu digalakkan
iv)  Bantu-membantu - maka zakat itu wajib, sedekah itu digalakkan

Kenapa prinsip dan bukannya sistem? Supaya umat Islam tidak menyempitkan diri kepada satu-satu jenis pengurusan ekonomi. Sedangkan ianya perkara yang perlu berubah mengikut zaman.

Gift Economy

Ada yang berpendapat satu unsur penting di dalam 'sistem ekonomi Islam' adalah unsur beramal soleh i.e. bersedekah, saling bantu membantu dan sewaktu dengannya. Suatu idea yang pernah aku fikirkan beberapa tahun dahulu, dan juga pernah dibincangkan oleh ahli ekonomi barat yang diberikan nama 'gift economy', serta pernah berlaku di luar sistem ekonomi Islam di kepulauan Trobriand (Google: Kula Ring)

Aku tak berminat untuk membincangkan secara terperinci. Kerana rasanya semua sedar bahawa untuk membiarkan ekonomi bergantung kepada sistem 'gift economy', adalah suatu teori ekonomi idealism yang lebih ideal daripada free market economy.

Antara Ekonomi dan Jalan Raya

Persoalan centralized economy vs decentralized economy ini samalah seperti persoalan adakah perlu meletakkan traffic light di atas jalan raya?

Semua orang tahu jawapannya, ada tempat yang perlu, ada tempat yang tidak.

Di kampung yang mana kereta hanya lalu sekali setiap 10 saat, meletakkan traffic light adalah suatu kebodohan

Di bandar yang 100 kereta lalu setiap 10 saat dengan pejalan kaki yang ingin melintas jalan, tidak meletakkan traffic light itu adalah suatu kebodohan

Maksudnya apa? Samada ekonomi itu perlu dirancang oleh kerajaan ataupun tidak, sangat bergantung kepada saiz ekonomi tersebut.

Untuk ekonomi yang penduduknya masih kecil seperti zaman Rasulullah, maka ianya tidak perlu. Apabila ianya sudah besar seperti pada zaman Umar Ibn Khattab, maka sedikit demi sedikit perancangan dan sistem ekonomi itu dibentuk

Sebab itu aku bukanlah seorang yang berpegang kepada mana-mana mazhab ekonomi, kerana keperluan ekonomi itu bergantung kepada keadaan semasa dan bukanlah keadaan ekonomi 100 tahun dahulu (Maynard Keynes), apatah lagi 250 tahun dahulu (Adam Smith).

No comments: