Thursday, 17 November 2016

Kesan Kewujudan Financial Market dan Musibah yang Dibawa Quantitative Easing

Quantitative Easing (QE) adalah satu topik yang sangat menjadi kegemaran aku di zaman universiti dulu, dari degree sehinggalah zaman master. Sampaikan salah seorang lecturer kegemaran aku macam tergelak, sebab aku tak habis-habis suka kaitkan banyak benda dengan QE.

Tapi itulah realitinya, harga emas yang naik banyak kemudian jatuh? Ada kaitan dengan QE. Harga minyak yang mencecah lebih daripada USD110 kemudian tergolek sehingga bawah USD30? Ada kaitan dengan QE. Duit Ringgit Malaysia yang menjunam daripada sekuat RM3.00/USD kepada RM4.30/USD? Pun ada kaitan dengan QE.

Semua itu ada kaitan dengan Quantitative Easing dan US Federal Reserve.

Dua Jenis 'Market'


Kena sedar zaman sekarang ni sebenarnya ada dua jenis 'market'. Satu yang aku suka untuk berikan nama sebagai 'real economy' dan satu lagi adalah 'financial market'.

Real economy ni merujuk kepada market ekonomi yang 'sebenar'. Ianya market di mana kita membeli nasi lemak di tepi jalan dan membeli ikan di pasar. Termasuk juga proses membeli dan membina rumah. Ianya adalah sebuah 'market' yang produktif. Market yang betul-betul akan memberikan peluang pekerjaan dan menghasilkan sesuatu. Ianya adalah market yang kita perlu berikan fokus yang tinggi. Yang semakin kita berusaha, semakin tinggi kemungkinan kita akan berjaya.

Financial Market pula adalah suatu market yang sentiasa meresahkan fikiran dan menyakitkan hati. Kerana ianya irrational, tak masuk akal dan sering kali bergantung kepada nasib. Financial market jugalah tempat untuk membuat pinjaman, tempat utama untuk hidupnya sistem interest (riba), juga tempat untuk orang melakukan pelbagai jenis 'taruhan'. Rasakan Brexit akan menang? Short British Pound! Rasakan Clinton akan menang? Beli US Dollar! Rasakan MBS akan runtuh? Beli CDS!. Ianya adalah seperti suatu kasino yang besar. Sesiapa sahaja yang biasa bergelumang dengan financial market akan mengakui suatu perkara. Iaitu financial market sangatlah tidak rasional, hasil daripada ramainya orang melakukan pelbagai jenis spekulasi yang tidak jauh bezanya dengan judi.

Malahan sesiapa sahaja yang biasa melabur di dalam stock market pasti sudah menyedari. Tidak kiralah selepas melakukan seberapa banyak fundamental dan technical analysis sekalipun, akhirnya samada akan memberi keuntungan ataupun tidak masih bergantung kepada nasib. (Kalau tak, tiada orang yang akan rugi di dalam pelaburan stock market). Malahan antara trader stock market yang paling legend di dunia, dia menyedari bakat dia di dalam stock market selepas menyedari bakat dia di dalam berjudi. Pada umur 15 tahun dia boleh mendapat 400,000 yen (RM15,000) sebulan hanya dengan berjudi! Maka sekarang dia boleh membuat jutaan USD hanya dengan bertaruh di dalam stock market.

Apabila Dua Market Bertemu

Segalanya tidak akan menjadi masalah jika kedua-dua market itu tidak pernah bertemu. Tetapi malangnya, kedua-dua mereka sudah bertemu sejak dari dulu lagi. Kita sekarang membeli rumah dan kereta menggunakan pinjaman daripada financial market. Duit simpanan kita diletakkan di dalam financial market. Malahan sehingga tahap harga petrol pun ditentukan oleh financial market, berbanding demand dan supply yang sebenar. Dan malangnya duit Ringgit kita juga ditentukan oleh financial market

Apa kesannya? Kesannya adalah volatility. Di dalam financial market, segala-galanya adalah 'liquid'. Maksudnya, katakanlah aku mempunyai duit di dalam stock market. Kemudian aku merasakan harga emas akan naik, jadi aku pun jual stock aku untuk beli emas di dalam financial market. Tindakan aku untuk menjual stock dan membeli emas itu akan menjadikan harga stock tersebut jatuh dan harga emas naik. Walaupun secara fundamentalnya langsung tidak ada perubahan pada kedudukan stock company yang aku pegang, namun harganya masih jatuh. Harga emas pula langsung tidak jaminan akan naik pada masa hadapan tetapi masih naik disebabkan tindakan aku. Akhirnya, spekulasi bertukar kepada realiti.

Ianya sehingga tahap orang mula membuat ramalan terhadap spekulasi ke atas spekulasi yang akan dibuat oleh orang lain. Hasilnya? Volatility. Irrationality. Anxiety.

Mungkin ramai tidak tahu, tetapi sebenarnya harga minyak juga dipengaruhi oleh financial market. Secara ekonomi, sepatutnya harga minyak hanya akan naik jika berlaku kenaikan kos, ataupun kekurangan supply. Tetapi kalau tengok dari tahun 2009 sampai 2013, jelas ketara lagi banyak oversupply berbanding short of supply.... tapi harga minyak masih naik ke tahap paling tinggi dalam sejarah. Dan harga di financial market itu menjadi 'realiti' apabila harga di stesen minyak pun turut sama menjadi mahal seperti harga di financial market.

Kenaikan tersebut turut dilalui oleh harga emas, harga property dan harga getah. Sehinggakan kerajaan yang tidak memahami perkara ini berbelanja dengan jauh lebih banyak, sedangkan patutnya ketika itu kita mampu untuk mengurangkan defisit. Orang-orang biasa yang tidak memahami apa-apa pula berpusu-pusu membeli emas, terpengaruh dengan dogma bahawa harga emas akan naik selama-lamanya. Penoreh getah, bangga mendapat RM10k sebulan, sekaligus membeli pelbagai jenis kereta mewah yang sekarang aku tak tahu macam mana diorang nak bayar balik. Tiada yang memahami ekonomi, hatta tiada yang mengetahui, bahawa harga kesemua itu pasti akan jatuh.

Federal Reserve dan Monetary Policy

Di dalam teori ekonomi, semakin banyak duit di dalam ekonomi tersebut akan menjadikan harga barang semakin mahal. Ianya samalah seperti perbandingan duit monopoli yang aku pernah ceritakan dahulu, bahawa harga tanah yang dilelong akan menjadi lebih mahal jika semua orang mempunyai 10,000 berbanding semua orang mempunyai 1,000.

Mandat central bank (bank pusat) seluruh dunia adalah berbeza. Contohnya untuk Bank Negara Malaysia (BNM), matlamat BNM adalah untuk memastikan kadar inflation yang rendah, dan pertumbuhan ekonomi yang stabil. Untuk US Central Bank (Federal Reserve, Fed) pula, matlamat Fed adalah untuk memastikan mereka mendapat inflation pada kadar 2%, dan mencapai 'full employment level' (yang mana pada masa ini ditetapkan pada kadar unemployment 4.9%).

Di saat unemployment rate naik jauh melebihi 'full employment level' tersebut, Fed akan menurunkan 'fed fund rate' (FFR). FFR ni samalah macam 'overnight policy rate' (OPR) oleh BNM. Rasanya ramai tahu, bila OPR jatuh, maka kos pinjaman kita juga berkurang, bayaran pinjaman rumah berkurang, bayaran kereta berkurang. Kesannya, kita akan mempunyai lebihan duit untuk berbelanja. Ianya akan 'stimulate the economy'. Maka itulah yang dilakukan oleh Fed. Sehingga tahap, FFR sudah mencapai dekat kepada 0%.

Menaikkan atau menjatuhkan OPR / FFR ini adalah asas utama kepada monetary policy central bank seluruh dunia. Sangat sedikit central bank yang tidak mengawal interest rate, antara yang aku tau Monetary Authority of Singapore (MAS) yang menggunakan exchange rate sebagai alat utama untuk monetary policy. Sebab tu tak perlulah nak bandingkan Ringgit sekarang dengan SGD dahulu, memang ianya polisi Singapore untuk sentiasa appreciate SGD berbanding Ringgit.

Quantitative Easing

Tapi apa nak buat, kalau unemployment rate US masih tinggi, dan FFR dah mencapai 0%?

Nak biarkan dia negatif? Pada masa tu ianya masih lagi sesuatu yang tidak pernah dibuat orang, dan theoretically tak masuk akal. Takkanlah nak bagi pinjam duit, tapi kita pulak yang kena bayar interest. Semua orang akan nak meminjam dan tak ada la orang yang nak memberi pinjam kalau macam tu (theoretically)

Maka orang-orang Fed, menggunakan otak-otak PhD dan puluhan tahun pengalaman mereka, memperkenalkan Quantitative Easing (QE).

Bahasa mudahnya, QE ni adalah tindakan untuk Fed 'inject duit' ke dalam financial market dengan membeli government bonds, menggunakan duit yang baru dicipta (secara elektronik). Tujuannya adalah untuk menambahkan 'lambakan duit' di dalam financial market, supaya ianya akan merendahkan interest rate di dalam financial market sekaligus menjadikan lebih ramai yang akan membuat pinjaman disebabkan interest rate yang rendah - hence stimulating the economy.

Side-Effect Quantitative Easing

Tapi QE ada 'side effect' dia yang tersendiri. Sepertimana di dalam game monopoli tadi, iaitu semakin banyak duit di dalam market, maka harga barang akan semakin mahal. Maka perkara yang sama berlaku di dalam financial market. Sekadar barang-barang di sini adalah 'barang-barang' di dalam financial market.

Bond? Stock? Harga Minyak? Getah? Harga Emas?

Semua, semua naik. Kerana semua itu adalah 'barangan' di dalam financial market.

Maka yang katakan harga emas akan naik selama-lamanya tu. Tak. Ianya sebab QE. Yang rasakan harga getah sekarang rendah sebagai satu bala atau salah kerajaan. Tak. Dulu dia tinggi disebabkan QE.

Yang rasa bangga trade dalam stock market dengan technical trading dan untung beribu-ribu sebulan? Tak. Itu sebab QE, bukan sebab korang power.

Ringgit appreciate sehingga RM3.00/USD? Itu sebab QE dan US Monetary Policy. Kerana foreign investor melabur di Malaysia memandangkan interest rate di Msia jauh lebih tinggi berbanding US dan sebab diorang ada terlalu banyak duit yang tak tahu nak letak kat mana, jadi laburlah di dalam stock market Emerging Market.

QE dan FFR pada 0% itu menjadikan pegangan foreign investor di dalam Malaysia Government Securities (MGS) melonjak daripada 13% kepada lebih 50%. Sekaligus menjadikan financial market kita, dari Ringgit, stock market dan bond market sekarang sangat terdedah kepada sebarang aktiviti oleh Fed, sebab pelabur akan bawak masuk dan keluar duit dari Malaysia dengan jumlah yang banyak bergantung kepada aktiviti dan ucapan Fed.

Apabila QE Berhenti



Pada 22 Mei 2013, Ben Bernanke (governor Federal Reserve masa tu), mengumumkan niat Fed untuk menghentikan QE. Sekaligus segala yang naik dulu jatuh, dari harga minyak sehinggalah harga emas dan Ringgit. Kerana ianya satu petanda bahawa Fed akan mula menaikkan kembali interest rate mereka.

Disember 2013, apa yang digelar sebagai 'QE tapering' bermula dan akhirnya QE dihentikan sepenuhnya pada Disember 2014. Dan pada masa itu, semua market participants memahami bahawa langkah seterusnya adalah kenaikan interest rate US.

Sekaligus ketika itu bermulalah zaman kejatuhan harga emas, harga minyak, Ringgit dan segala sewaktu dengannya. Kebanyakan negara-negara membangun terkesan, kebanyakan pelabur yang tidak memahami perkara ini sengsara. Tetapi mungkin juga ramai yang tidak sedar, the worst has yet to come....

Setakat ini, Fed hanya baru menaikkan interest rate sebanyak 0.25%. Sekurang-kurangnya, Fed masih ada lagi dalam 2.75% untuk dinaikkan. Namun itu baru di tahap interest rate.

Fed akan kena buat satu lagi perkara, iaitu segala lambakan duit hasil daripada QE sebelum ini perlu 'ditarik' semula. Jumlah QE yang dilakukan oleh Fed sahaja mencecah USD3.5trillion.

atau dalam Ringgit Malaysia, dalam RM15,326,675,000,000.

Aku tak dapat bayangkan macam mana mereka nak menarik kembali duit sebanyak tu daripada financial market. Sebab jika ianya dilakukan, kemungkinan sangat besar ekonomi pun akan jatuh terduduk tergolek-golek, terkapai-kapai mengharapkan QE yang baru.....

Jadi rasanya kepada yang bertanya ke mana arah Ringgit selepas ni, ianya sangat bergantung kepada secepat mana Fed akan naikkan interest rate mereka. Semakin cepat daripada jangkaan, maka Ringgit akan semakin jatuh. Semakin lambat daripada jangkaan, maka Ringgit akan semakin kukuh.

Fokus Perlu Diberikan Pada Real Economy, Bukan Financial Market

Siapa tak sukakan 'easy money'. Bagi duit, boom dapat 8% setahun (ASB). Orang yang ada duit RM1 juta tu lagilah seronok, dapat RM80,000 setahun tanpa buat apa-apa pun. Atas sebab itu jugalah sangat ramai yang sukakan skim cepat kaya, yelah dapat 15% sebulan dengan goyang kaki.

Ramai tak sedar sebenarnya mendapat 'easy money' itu tidak jauh dengan riba. Bagi pinjam duit, goyang kaki, dapat duit lagi banyak. Pelaburan di dalam Islam sepatutnya wajib ada risiko dan produktif. Kalau pelaburan rugi, maka kita rugi. Kalau untung, maka kita untung. Jika duit kerajaan perlu digunakan untuk menampung kerugian pelaburan kita, maka itu kita sudah mengambil 'hak rakyat' lain.

Tetapi disebabkan sukakan kepada 'easy money'lah masih sangat ramai yang melibatkan diri di dalam financial market. Tidak kiralah forex ke, stock market ke. Ianya bukanlah salah di sisi Islam (Forex tu lain cerita), tetapi ianya bukanlah aktiviti yang produktif. Ianya tidak mewujudkan peluang pekerjaan.

Sebab tu aku lebih suka jika ada duit lebihan, cari orang yang ingin memulakan bisnes dan labur dengan mereka. Rasa gembira bila hasil duit kita mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain. Semua orang untung. Kita untung, pekerja untung, pembeli gembira dapat makan lokcing sedap (eh). Cuma yang rugi mungkinlah pesaing kitorang keh keh. Tapi persaingan yang sihat itu bagus di dalam ekonomi.

Tun Mahathir sedar benda ni, sebab tu dia sangat menekankan kepentingan 'real economy'

Seperti yang pernah aku cakapkan sebelum ni. Islam itu menggalakkan untuk kita menjadi produktif. Dan pelaburan di dalam financial market itu (terutamanya secondary market)..... bukanlah sesuatu yang produktif

4 comments:

Anonymous said...

Salam, tuan ada twitter x?

am_yus said...

Penulisan yang amat aku suka. Tq di atas ilmu. Cuma part pakai duit kerajaan utk tampung kerugian tu, iye ker?.. apa yg aku nampak, contohnya ASB, pihak PNB seolah normalizekan keuntungan, itu yg seolah2 nampak keuntungan konsisten. Contohnya masa untung tinggi, say, 15%.. pelabur diberi 8%. Maka yg lebih itu di standby utk ketika2 yg keuntungan rendah atau -ve. Bagi mengawal emosi pelabur yang kebanyakan, ianya perlu supaya nampak pelavuran ini stabil. Macam juga dengan Unit Trust... sebab tu kalau kita ambil long term say, 10yrs, akan nampak average mungkin 10%... walau ada ketika mungkin 40% dan ada ketika -ve.

Fedli Isa (Slumb) said...

Penulisan yg menarik. Cuma, kurang setuju apabila saudara menghentam pasal 'spekulasi, judi, riba' secara pukul rata.


Disini saya kongsikan my quotes iaitu: "Masalah dunia kewangan (Financial market) masakini ialah Hutang & Pelaburan".

Fell free to follow my blog : http://fedli91.blogspot.my/2016/12/hutang-pelaburan-siri-3.html

FB ID : fedli91 (sekiranya berminat, boleh la add. Boleh kongsi pandangan)

halim shamsuddin said...

Ada cadangan buku2 yg bincang perkara ni?