Friday, 16 December 2016

Paradoks Bersedekah: Adakah Betul Kita Membantu?


Jika sesiapa yang pernah pergi ke Mekah, pasti perasan di situ sangat ramai anak-anak yang cacat meminta sedekah. Ramainya itu sungguh luar biasa, cacatnya juga sangat unik sehingga pelik, jarang atau tak penah pun ku lihat cacat sebegitu di luar tanah suci Mekah.

Realiti di sebalik perkara ini ada diceritakan di sebuah novel berjudul Lorong Midaq, yang menceritakan bagaimana hakikatnya anak-anak ini dicacatkan dari kecil lagi untuk menjadikan mereka peminta sedekah kepada sindiket-sindiket tertentu. Di mana ada demand, di situ ada supply. Demand di sini adalah demand untuk bersedekah. Dan supply di sini adalah supply untuk 'menyediakan individu' untuk menerima sedekah.

Paradoks.

Namun perkara ini tidak terhad pada tanah suci Mekah. Pernah tak nampak anak-anak kecil meminta sedekah di kedai-kedai makan? Atau iklan untuk berkorban dan bersedekah di Myanmar? Kalau lebih kontroversi lagi seruan untuk menolong golongan gelandangan di Kuala Lumpur dan juga maahad tahfiz di Bangi yang meminta derma di Warta sehinggalah lorong-lorong menjual makanan di Kuala Lumpur.

Persamaannya? Sedekah kita itu menjadi satu 'pendapatan' kepada mereka.



Di Dalam Ekonomi, Kesusahan Itu Adalah Sesuatu yang Bagus

Ketika aku di Public Bank dahulu, amoi-amoi di situ selalu berkongsi cerita yang dikongsikan oleh ibu bapa mereka. Iaitu ketika dahulu, mereka (kaum Cina) selalu bertanyakan sesama sendiri, "hari ini sudah makan?". Kerana maklum pada masa awal-awal kemerdekaan, keistimewaan yang banyak diberikan kepada kaum bumiputra, dan bukan bumiputra pula sebenarnya masih ramai yang susah.

Namun kini, fakta menunjukkan bahawa secara purata kaum Cina adalah kaum paling kaya di Malaysia. Kerana dahulu mereka mengalami kesusahan untuk 'survive'

Perkara yang sama berlaku dengan golongan 'baby boomer' di US. Disebabkan jumlah mereka yang mendadak, kemungkinan besar ramai di antara mereka mengalami kesusahan di dalam mendapatkan pekerjaan dahulu. Kesannya ramai yang memulakan perniagaan sendiri dan kini generasi itulah yang menguasai sebahagian besar kekayaan di US iaitu sebanyak 70%, walaupun mereka hanya 44% daripada populasi US secara keseluruhannya.

(perkara yang sama boleh diperhatikan pada generasi Gen-Y di Malaysia sekarang, banyak start-up yang muncul disebabkan susahnya untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan peluang pekerjaan yang terhad)

Rakyat Malaysia yang Suka Bersedekah

Bayangkan kalau kita tidak perlu berkerja setiap hari, dan masih mendapat makanan yang mengenyangkan perut kita setiap hari. Malahan dari semasa ke semasa kita mendapat pakaian, selimut dan segala barang keperluan yang lain. Adakah kita masih akan berkerja?

Sebahagian ya, sebahagian lagi tak.

Yang tidak inilah yang bermasalah.

Aku mendapat berita bahawa kenapa mereka di Myanmar masih tidak maju-maju walaupun sudah bertahun-tahun rakyat Malaysia memberikan bantuan kepada mereka, kerana ianya sudah menjadi kebiasaan untuk mereka mengharapkan bantuan daripada Malaysia. Rakyat Malaysia kan baik-baik, banyak duit, suka bersedekah.

Tidak perlulah diceritakan lagi, perkara yang sama terjadi kepada sebahagian maahad tahfiz dan rumah anak yatim. Mereka sangat mengalu-alukan dermawan, mendapat jemputan yang sangat banyak setiap kali musim perayaan. Namun hakikatnya sebahagian besar pelajar di sekolah tersebut bukanlah anak yatim pun. Malahan sistem pembelajaran berterabur sehinggakan budak yang pandai sekalipun akan menjadi ketinggalan jika terus belajar di sekolah itu. Adakah itu betul-betul 'membantu' anak-anak yatim ini? (ini kisah sebenar yang diketahui penulis, tapi identiti tidak akan didedahkan)

Sedar tidak sedar, golongan gelandangan juga semakin bertambah semenjak bercambahnya golongan-golongan NGO yang memberikan bantuan makanan kepada gelandangan. Baru beberapa minggu lepas, budak yang disangkakan hilang mengakui berasa selesa lari dari rumah dan menjadi gelandangan kerana makanan itu boleh diperolehi setiap hari. Bantuan yang diberikan dengan niat untuk membantu gelandangan akhirnya menjadi punca kenapa semakin ramai gelandangan di bandar. Ada sebabnya kenapa DBKL dahulu menghalang daripada memberi makan kepada gelandangan.

Kerana rakyat Malaysia terlalu suka bersedekah.

Paradoks.

Berikan Pancing, Bukannya Ikan

Kita terlalu biasa memberikan ikan, berbanding memberikan pancing. Islam itu menggalakkan bersedekah, itu tidak dinafikan. Tetapi pada masa sama Islam itu tidak menggalakkan meminta-minta. Ianya bermasalah apabila satu pihak suka bersedekah, tetapi satu lagi tidak mendengar panggilan Islam dan masih suka meminta-minta.

Ianya seperti seorang kawan yang suka belanja kawannya, dan seorang lagi kawan tidak suka membelanja tapi suka dibelanja. Ada sesuatu yang serong di dalam perhubungan dua orang kawan tersebut.

Disebabkan itu, kita sepatutnya memberikan pancing kepada mereka yang susah. Bukannya memberikan ikan. Jika boleh memberikan tanah untuk diusahakan, maka kita berikan tanah. Jika boleh berikan mesin jahit untuk menjahit, maka kita berikan mesin jahit. Jika kita boleh berkerjasama untuk memasak dan mengedarkan makanan, kenapa tidak berkerjasama mencari peluang pekerjaan untuk mereka.

Maahad tahfiz dan sekolah-sekolah anak yatim juga sepatutnya mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri. Bukan mengharapkan derma untuk terus hidup.

Malangnya, Golongan Pemalas dan Pendek Akal Itu Masih Wujud

Hakikatnya apa yang aku cadangkan sudah lama dibuat oleh kerajaan. Seperti bantuan-bantuan yang diberikan kepada orang kampung. Tetapi bila diberikan mesin jahit, mesin itu dibiarkan dan ada yang dijual. Diberikan lembu, pagi ambil, petang dah jual. Diberikan tanah untuk diusahakan. Tanah itu dibiarkan. Diberikan duit untuk menternak lembu, duit itu digunakan untuk membeli kondo.

Jadi nasihat aku, kalau ingin bersedekah, bersedekahlah pada tempatnya dengan cara yang betul-betul membantu dalam jangka masa panjang. Jangan sedekah kita itu akhirnya mendatangkan keburukan yang lebih besar kepada anak cucu individu tersebut, iaitu bantuan kita itu menjadikan keturunan mereka terus memilih untuk menjadi miskin turun temurun.

4 comments:

FarizDanialz said...

entahla, kadang2 aku rasa takut nak sedekah. Sama ada sedekah tepi jalan ataupun online, banyak da scam sekarang ni.

FarizDanialz said...

Ada satu kampung nelayan kat tempat aku berkhidmat ni, kerajaan dah bagi bot, jala, alat pancing sume kat golongan nelayan ni, diorang amik alat tu semua pastu jual kat orang lain. Pastu mengharapkan bantuan tu lagi untuk taun depan

HongWeng said...

welfare mentality vs earning money with dignity mentality

PAk RUDI DI SEMARANG said...

Assalamualaikum wr.wb mohon maaf kepada teman teman jika postingan saya mengganggu anda namun apa yang saya tulis ini adalah kisah nyata dari saya dan kini saya sangat berterimah kasih banyak kepada Mbah Rawa Gumpala atas bantuan pesugihan putihnya tampa tumbal yang sebesar 15m kini kehidupa saya bersama keluarga sudah sangat jauh lebih baik dari sebelumnya,,saya sekaran bisa menjalanka usaha saya lagi seperti dahulu dan mudah mudahan usaha saya ini bisa sukses kembali dan bermanfaat juga bagi orang lain,,ini semua berkat bantuan Mbah Rawa Gumpala dan ucapa beliau tidak bisa diragukan lagi,bagi teman teman yang ingin dibantuh seperti saya dengan pesugihan putih bisa anda hubungi di no 085 316 106 111 jangan anda ragu untuk menghubuni beliau karna saya sudah membuktikannya sendiri,karna Mbah tidak sama seperti dukun yang lain yang menghabiskan uang saja dan tidak ada bukti sedankan kalau beliau semuanya terbukti nyata dan sangat dipercay,,ini unkapan kisah nyata dari saya pak Rudi di semarang.Untuk lebih lenkapnya silahkan buka blok Mbah di šŸ£PESUGIHAN PUTIH TANPA TUMBALšŸ£